[wa-bihi nasta'inu billahi ala. Ini pada menyatakan hikayat Inderaputera yang terlalu amat indah-indah keterangannya cinta berahi itu, pada masanya belum jadi johar patut dengan segala arif bijaksana, ialah yang terlalu amat masyhur di tanah manusia dan di tanah jin dan di tanah indera dan cendera dan di tanah mambang dan peri dan pada tanah dewa. Syahadan yang terlalu amat elok rupanya serta dengan sikapnya dan terlalu amat pantas barang kelakuannya.
Syahadan kepada zaman itu seorang pun tiada tandingnya dengan Inderaputera itu lagi dengan arif bijaksananya dan terlalu perkasa dengan saktinya. Syahadan beberapa yang tiada dapat dikerjakan oleh orang banyak dapat dikerjakannya. Bermula ialah yang disuruhkan oleh Raja Syahian kepada] Berma sakti dengan dewa Lela Mengerna dan ialah yang (diterbangkan) oleh jin Tamarbuga, dan ialah yang bertemu dengan bukit emas dan bukit permata, dan ialah yang bertemu dengan tasik Bahrul Ajaib, dan ialah yang bertemu dengan tasik Bahrul Asyik, dan ialah yang menjalani jalan yang tiada dijalani orang; demikianlah gagah perkasa Inderaputera, dan ialah yang berjalan dalam gua sebulan lamanya, dan ialah yang membunuh gergasi yang bernama Mamdu; maka beberapa hikmat Raja Talela Syah hendak membunuh gergasi itu tiada juga dapat membunuh dia, maka dengan mudahnya juga dibunuhi oleh Inderaputera.
Syahadan ialah yang dibuangkan oleh menteri Raja Syahian ke dalam laut tiga tahun lamanya, dan ialah yang beroleh (kain sutera) rambuti seperti air embun rupanya dan ialah yang (bertemu) dengan Dewa Langkurba di dalam laut dan ialah yang berjalan di dalam laut jin, dan ialah yang bertemu dengan Derma Gangga; maka diberinya panah kesaktian dan beberapa pula hikmat hulubalang akan Inderaputera. Demikianlah akan gagah perkasa Inderaputera.
Ada sekali persetua ada seorang maharaja di negeri Sementa Pura dan nama raja itu Raja Bikrama Buspa dan akan raja itu terlalu amat besar kerajaannya. Arakian beberapa raja-raja yang takluk kepada raja itu memberi ufti pada tiap-tiap tahun dan empat puluh raja-raja yang memakai pakaian yang keemasan sentiasa dengan alat senjata di bawah istana Maharaja Bikrama Buspa, demikianlah peri kebesaran baginda itu.
Hatta beberapa lamanya Maharaja Bikrama Buspa dalam kerajaannya demikian maka pada suatu hari yang baik, ketika yang sempurna, isteri Maharaja Bikrama Buspa yang bernama Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi pun hamillah, (dan) beberapa lamanya ia mengandung. Setelah genaplah bulannya maka kepada empat belas haribulan maka Tuan Puteri pun sakitlah. Pada ketika hariraya besar dan segala mergastua belum lagi mencari mangsanya maka dewasa itu Tuan Puteri pun beranaklah seorang laki-laki terlalu elok rupanya seperti matahari baharu terbit gilang-gemilang. Setelah itu maka baginda pun berasa amat sukacitanya. Maka dititahkan oleh Baginda akan orang memalu segala bunyi-bunyian seperti adat raja-raja beroleh putera demikianlah adanya. Maka lalu Baginda menamai akan anakanda baginda Inderaputera. Maka Baginda pun menyuruh akan orang memanggil segala ahlil nujum sastrawan.
Setelah datanglah segala ahlil nujum maka baginda pun memberi titah kepada segala ahlil nujum, "Maka lihatlah oleh tuan-tuan sekalian betapakah kebesaran anakku ini."
Maka sekalian mereka itu pun menyembah serta takzimnya akan melihat nujumnya.
Setelah dilihatnya maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya seraya ia berdatang sembah, "Ampun Tuanku Syah Alam, terlalu sekali bahagianya paduka anakanda itu akan memangku kerajaan yang amat besar hingga tujuh tahun juga lamanya paduka anakanda ini bersama-sama dengan Duli Syah Alam nescaya cerailah juga ia dengan Duli Tuanku. maka Paduka anakanda itu akan melihat kekayaan Tuhan Yang Mahabesar dan Mahatinggi." Demikianlah lagi sembah segala ahlil nujum " Ampun Tuanku Syah Alam. Adapun jika Paduka anakanda itu hendak bermain-main binatang jangan Tuanku beri, kerana sebab binatang itulah anakanda itu beroleh bencana."
Maka Maharaja Bikrama Buspa mendengar sembah segala ahlil nujum itu demikian. Maka baginda pun memberi anugerah akan segala ahlil nujum itu sastrawan dan pada segala fakir dan miskin pun menjadi kayalah daripada limpah kurnia Baginda memberi sedekah dan persalinan pada segala anak raja-raja dan pada segala menteri hulubalang dan pada segala orang kaya-kaya. Setelah sudah memberi persalinan maka baginda pun berjaga-jaga sekira empat puluh hari dan empat puluh malam makan minum bersuka-sukaan dengan segala anak raja-raja dan segala menteri hulubalang dan orang kaya-kaya.
Maka setelah genaplah empat puluh hari dan empat puluh malam maka Maharaja Bikrama Buspa pun mengaraklah akan anakanda baginda itu berkeliling negeri. Setelah genaplah tujuh kali diarak oleh orang anakanda baginda berkeliling negeri dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala anak raja-raja dan segala menteri dan hulubalang dan segala orang kaya-kaya dan segala alat tenteranya. Setelah sampailah ke istana maka anakanda baginda pun didudukkan oleh orang di atas takhta kerajaan diriba oleh baginda dan dipeliharakannya dengan sepertinya adat raja-raja besar; dan beberapa lamanya anakanda baginda itu maka ia pun besar panjang lalu disuruh oleh baginda serahkan mengaji kepada mualim Bersapian namanya.
Hatta beberapa lamanya sekira-kira tujuh tahun lamanya maka Inderaputera pun tahulah sudah mengaji Quran dan Maharaja Bikrama Buspa pun semakin sangat kasih gemar akan anakanda baginda dan seketika pun tiada mahu bercerai daripada anakanda baginda daripada sebab lagi pesanan segala ahlil nujum. Sebermula maka baginda dihadapi oleh segala menteri hulubalang dan ank raja-raja yang besar-besar demikianlah baginda tiada mahu bercerai barang seketika dengan anakanda baginda itu.
No comments:
Post a Comment