20110318

Bulan lepas

Hari itu, 23 hb, hari Rabu. Gaji akan masuk dalam masa 3 jam 30 minit lagi iaitu tepat jam 12 malam. Ketika itu jam di dinding rumah aku menunjukkan pukul 8.30 malam. Bahan masakan yang ada dalam rumah hanya tinggal beras saja. Sempat lagi untuk makan 2 3 hari untuk tiga orang makan; aku, pengurus aku dan adam. Tetapi lauk basah semua sudah habis digunakan. Siang tadi makan roti dengan inti kacang kegemaran adam. Untuk beverages, masih lagi cemerlang, kerana masih mampu menghirup Vico disaat-saat hujung bulan begini.

Akhir bulan aku sama saja macam orang lain. Tunai di tangan sudah menipis. Hendak habiskan minyak kereta merayau-rayau tak tentu pasal pun sudah tidak mampu. Aku cuba untuk bertenang. Duit yang ade dalam poket lebih kurang RM 8.30 saja. Aku cuba hela nafas yang aku rasa macam tersekat-sekat. Ini semua dugaan. Aku pasti. Allah tidak akan menguji hambaNya kalau hamba itu tidak mampu menghadapinya. Sama ada berjaya atau tidak, itu yang aku tidak pasti.

Memang aku rasa tidak mampu dan mungkin gagal dengan dugaan ini. Tiba-tiba atas bibir aku terasa macam ade rasa basah dan rasa panas. Aku ingatkan air mata, tetapi hingus yang meleleh. Ini mesti berpunca dari masalah ketagihan. Ketagihan rokok. Perasaan nak mencarut aku pendamkan sahaja. Aku rasa itu adalah perkara yang paling baik aku buat. Diam..diam..diam..

-----------

Usai lepas termenung, aku lepak tepi kereta sambil sound dekat pengurus rumahtangga aku supaya masak nasi. Aku tekad untuk pergi beli lauk dekat kedai siam dekat simpang empat jalan nak pergi ke uitm Lendu. Lebih kurang 5.8 kilometer pergi balik dari rumah aku. Aku pusing ignition key kereta aku. Bila dah on, aku tepuk dahi. Klip klip dekat odometer aku rasa umpama tembakan daripada pihak musuh yang tidak dapat aku elakkan. Tangki minyak sudah hampir kosong. Mengikut kata-kata ejen jual kereta;yang aku 'rawi'kan sendiri 3 tahun lalu masa 'angkat' kereta ini, dia cakap,'' Bila imej pam minyak dekat odometer dah berkelip-kelip, maka kita hanya boleh memandu sejauh 12 kilometer sahaja lagi''. Aku tenang kembali bila memikirkan aku masih ada 12 kilometer untuk bergerak. Aku mengucapkan puji-pujian kepada Allah.

-------

Aku duduk di satu meja dekat satu sudut selepas aku membuat pesanan makanan dekat kaunter. Banyak betul meja yang diorang ni bukak. Sesuai lah kot dengan bilangan orang yang datang. Aku tak keluarkan kalkulator untuk mengira bilangan meja yang ada kat situ. Tapi, mengikut congakan aku, jumlah meja yang ada, tidak kurang daripada 40 buah meja. Sambil kongsi meja dengan seorang pakcik, aku suakan tangan kanan aku sebagai tanda hormat, menyalami tangan kanan dia. Aku amati bahawa dia bukanlah dari geng-geng '3 line' kalau ikut jenis pegangan tangan dia masa salam tu. Illuminati pun bukan. Mungkin geng kapak. Aku biarkan teka teki itu, macam tu saja, sebab aku tak nak ambik 'port' sangat dia geng mana. Yang pasti, aku dah tunaikan tanggungjawab aku sebagai orang muda, menghormati orang tua.

Daripada kampung asal aku, sampailah kepada tempat aku bekerja, pakcik yang lahir tahun 1940-an itu dapat cungkil daripada aku. Punyalah sembang tak 'hingat'. Pasal dia, satu haram pun aku tak tau. Dalam hal ini, pakcik itu patut dipersalahkan, kerana dia je asyik tanya.

Bila dah siap makanan yang aku 'takeaway', aku bayar RM 8. kira oklah tu lebih tiga puluh sen. Bermain dekat benak aku, sempat atau tidak, duit tiga puluh sen tu, kalau aku buat beli rokok batang; suria, contohnya.

Aku berjalan agak pantas menuju ke kereta sambil melalui tepi meja yang pakcik tadi duduk. Pakcik tadi tahan aku. Dengan berubah airmukanya, dia beritahu bahawa dia takde duit nak makan. Dia mintak sedikit belas kasihan daripada aku. Dia menceritakan yang dia dah lama tidak bekerja. Duit pencen dia pun hanya seratus aje sebulan. Namun aku berkeras untuk pergi juga.

-----------------------------

Kali ini, dalam kereta, air mata aku betul-betul meleleh. Entah kenapa. . . .

kalau kita pikir kita susah, ingatlah, ada yang lagi susah daripada kita...



No comments:

Post a Comment